Langkawi: "Saya sempat teman Allahyarham makan tengah hari, sebelum beliau pergi selama-lamanya," kata Datin Sabariah Hassan, 59, isteri kepada Datuk Nawawi Ahmad yang meninggal dunia di Jerman, awal pagi tadi.
Nawawi, 61, adalah bekas Ahli Parlimen Langkawi dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuah yang dilaporkan meninggal dunia di hotel penginapannya di Frankfurt, Jerman, kira-kira jam 3 pagi (waktu Malaysia), hari ini.
Sabariah berkata, dia menemani Allahyarham sepanjang berada di Frankfurt bagi urusan kerja atas kapasiti beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Sebenarnya, kami baru saja sampai hotel ke penginapan jam 2.30 petang (waktu tempatan Frankfurt) selepas makan tengah hari bersama ahli rombongan TNB.
"Arwah kemudian sesak nafas dan jatuh, sebelum kawan-kawannya dalam rombongan sama datang membantu," katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.
Sabariah berkata, dia tidak menyangka saat menemankan Allahyarham makan tengah hari sambil beliau berbual mesra bersama rakan-rakannya menjadi kenangan terakhir.
"Sepanjang berada di sini (Frankfurt) tidak banyak perubahan sikap, cuma dia sedikit letih sebab perjalanan ke Frankfurt jauh termasuk kena transit di Istanbul, Turkiye.
"Jenazah kini berada di hospital dan Alhamdulillah urusan dipermudahkan dengan banyak dibantu pihak TNB dan Konsulat Jeneral Malaysia di Frankfurt," katanya.
Beliau berkata, urusan pengebumian jenazah sama ada membawa balik ke tanah air atau dikebumikan di Frankfurt masih dalam perbincangan bersama anak-anaknya.
Allahyarham memiliki pengalaman luas dalam bidang politik dan pernah berkhidmat selama sepenggal sebagai Ahli Parlimen Langkawi mulai 2013 hingga 2018.
Beliau turut berkhidmat selama dua penggal sebagai Adun Kuah antara 2004 hingga 2013.
Bagaimanapun pada saingan merebut kerusi Parlimen Langkawi pada Parlimen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), beliau tewas kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sumber - HMetro