Klang: Seorang lelaki tanpa identiti sempat meminta tolong sebelum mayatnya ditemui lemas di sungai berhampiran Pandamaran Jaya, di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.34 pagi.
"Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang tiba di lokasi kejadian pada jam 10.47 pagi dan menemui orang awam yang membuat panggilan berkenaan.
"Pemanggil itu memberitahu ternampak seorang lelaki berumur lingkungan 50 tahun turun ke sungai.
"Mangsa dipercayai terkapai-kapai dan meminta tolong sebelum terus hilang dari pandangan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Susulan itu, katanya, anggota bomba segera bertindak menyelusuri sungai terbabit dan pada masa sama meminta bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pelabuhan Klang.
"Anggota PPDA melakukan selaman di dasar sungai dan berjaya menemui mangsa pada jam 12.30 tengah hari, satu kilometer dari tempat mangsa turun ke sungai.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan sebelum mayatnya diserahkan kepada polis.
"Polis juga tidak menjumpai sebarang identiti pada mangsa. Operasi bomba tamat pada jam 1.42 tengah hari," katanya.
Sumber - HMetro