Empat sekeluarga maut, satu kritikal


Alor Gajah: Hasrat enam sekeluarga untuk bercuti meraikan hari jadi di Langkawi bertukar tragedi apabila empat daripada mereka maut dan seorang kritikal dalam kemalangan dua kenderaan di Jalan Kolam, Machap, dekat sini, 7.45 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa yang meninggal dunia adalah Ibrahim Daud, 71; isterinya, Latipah Dorahim, 66; menantu, Syazana Tharin, 30, dan cucunya, Yusuf Daniel, 5.

Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati kenderaan 4x4 dari arah Durian Tunggal menghala ke Selandar, manakala kenderaan pelbagai guna (MPV) dari arah Selandar ke Alor Gajah.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila 4x4 membelok ke kanan simpang dan pada masa sama datang MPV dinaiki enam beranak itu yang sedang meneruskan perjalanan.

"MPV cuba mengelak ke arah kanan dan membrek sejauh lima meter tetapi gagal dan melanggar jip di bahagian kiri hadapan.

"Pelanggaran menyebabkan Ibrahim meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu dan semua penumpang lain dibawa ke Hospital Alor Gajah (HAG) untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan, di sini.

Arshad berkata, tiga mangsa lain iaitu Latipah, Syazana dan Yusuf Daniel meninggal dunia ketika menerima rawatan di HAG.

"Pemandu MPV tidak cedera manakala seorang lagi anaknya, Aniq Fahim parah di kepala dan dirawat di Zon Merah, Hospital Melaka," katanya.

Beliau berkata, pemandu 4x4 itu ditahan kira-kira 11 pagi ketika memberi keterangan di Balai Polis Trafik Alor Gajah dan ujian air kencingnya negatif dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1978," katanya.



Sumber - HMetro 



LAZADA BIG SALE

LAZADA BIG SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!