BAGAN SERAI – Seorang warga emas maut manakala kakaknya cedera setelah kediaman yang diduduki mereka di Kampung Teluk di sini terbakar kira-kira pukul 5.45 pagi hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Hudri Mohd. Arshad berkata, mangsa yang cedera, Tan Boy Soo, 74, serta Tan Ah Nya, 69, telah lama menghuni rumah dengan dua bilik tidur yang dindingnya dibuat daripada papan dan simen tersebut.
“Hasil siasatan awal mendapati, Boy Soo berjaya diselamatkan, manakala adiknya, Ah Nya telah terperangkap tidak dapat keluar kerana api yang terlalu marak.
“Mayat mangsa ditemui di lantai ruang tamu dan punca kematian dipercayai sesak nafas setelah tidak sempat menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, jiran mangsa memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa dia terjaga dari tidur kerana terhidu asap kira-kira pukul 5 pagi.
“Sebaik sahaja jirannya terjaga, dia bersama ibunya telah pergi ke rumah mangsa dan mendapati bahagian ruang tamu rumah itu telah marak terbakar.
“Mereka berdua nekad menendang jeriji pintu untuk masuk dan hanya berjaya menyelamatkan Boy Soo, manakala adik mangsa tidak dapat diselamatkan kerana api terlalu marak,” katanya.
Tambahnya, siasatan awal juga mendapati punca kebakaran dipercayai daripada api lilin.
“Rumah mangsa sememangnya mempunyai bekalan elektrik namun mereka mengunakan lilin pada waktu malam untuk menjimatkan penggunaan bil elektrik.
“Mayat mangsa telah dibawa ke bahagian forensik di Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE