Wanita maut, bayi cedera parah kereta bertembung lori tangki minyak


Setiu: Seorang wanita maut manakala bayinya yang berusia 12 bulan cedera parah selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah tangki minyak di Kilometer 83, Kampung Bintang, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, Setiu, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, mangsa, Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 30, beralamat Kampung Batu Hampar, Jalan Telemong, Manir yang memandu Perodua Alza meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa adalah ibu kepada Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd Lekman atau Adam, bayi yang dilahirkan dengan otak di luar tempurung kepala yang mendapat liputan meluas media tahun lalu.

"Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku ketika lori tangki minyak dalam perjalanan dari arah Chiku, Gua Musang, Kelantan menghala ke Kuala Terengganu.

"Manakala Perodua Alza dipandu dari arah Manir, Terengganu menghala ke Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan.

"Apabila sampai di tempat kejadian pemandu Alza hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori tangki minyak," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Afandi berkata, pemandu lori tangki tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu Alza yang juga seorang suri rumah maut di lokasi kejadian, suaminya, Mohd Lekman Zakaria, 36, mengalami cedera ringan.

"Tiga anak pasangan suami isteri itu, Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd Lekman,1, cedera parah, Nur Qaireen Luffiya Mohd Lekman, 5, patah peha kiri, serta Sayyid Lutfi Mohd Lekman, 7, patah tangan kiri.

"Seorang lagi penumpang Alza, Muhammad Arsyad Syahiran Mohd Agil, 9, cedera parah," katanya.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut.

"Ketika kejadian permukaan jalan raya kering dan lurus. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, "katanya.



Sumber - HMetro 



LAZADA BIG SALE

LAZADA BIG SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!