Kepala Batas: "Kakak saya minta Lutfir tidak ke sekolah hari ini memandangkan dia sedang menghadiri kursus di Langkawi tetapi anak saudara saya ini bersungguh sangat mahu pergi mungkin sudah lama sangat bercuti," kata Siti Shafawiyah Mohamad.
Siti Shafawiyah, 36, adalah ibu saudara kepada pelajar tingkatan tiga, Lutfir Rahman Izham Haniff, 15, yang maut bersama bapanya, Izham Haniff Ibrahim, 46, dalam kemalangan di Jalan Padang Menora dekat Tasek Gelugor, pagi tadi.
Menurut Siti Shafawiyah, ibu kepada mangsa yang juga kakaknya sedang menghadiri kursus di Langkawi, Kedah sejak kelmarin dan sepatutnya pulang ke Pulau Pinang, esok.
"Kakak saya seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Selamat dan sepanjang ketiadaan dia di sini, abang ipar (Izham Haniff) yang mengambil alih menjaga anak-anak mereka.
"Saya dimaklumkan abang ipar saya yang bekerja di bahagian keselamatan, Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) di Bertam, Kepala Batas juga kurang sihat dan mengambil cuti untuk berehat di rumah. Namun, alangkah terkejutnya saya apabila mendapat berita abang ipar dan anak saudara maut dalam kemalangan.
"Pada mulanya memang susah hendak percaya sebab kakak saya minta anaknya tidak ke sekolah tetapi selepas disahkan adik-beradik lain yang pergi ke lokasi, kami sekeluarga reda dengan pemergian ini walaupun sangat perit," katanya ketika ditemui di luar unit forensik Hospital Kepala Batas (HKB), di sini, hari ini.
Dia berkata, kali terakhir dia bertemu dengan abang ipar dan anak saudaranya adalah pada minggu lalu yang ketika itu mereka hanya berbual seperti biasa.
"Arwah Lutfir (anak ketiga daripada lima beradik) seorang anak yang sangat baik dan menuruti apa saja kata-kata ibu bapanya. Hari ini dia bersungguh sangat nak pergi sekolah walaupun ibunya banyak kali kata jangan pergi tetapi mungkin ini sudah menjadi asbab kematiannya," katanya yang memaklumkan anak saudaranya itu bersekolah di sebuah sekolah agama di Guar Perahu.
Bagi Fauziyah Daud, 56, berkata, dia sepatutnya bertemu dengan keluarga Izham Haniff malam esok sebelum terbang ke Jeddah bagi menunaikan ibadah umrah.
"Saya ibu saudara kepada isteri arwah Am (Izham Haniff). Kami baru saja bertemu pada majlis tahlil dan bacaan Yasin minggu lalu sempena saya hendak ke Makkah bagi menunaikan umrah.
"Malam esok saya akan berlepas ke sana dan sepatutnya bertemu dengan arwah bersama keluarganya namun mendapat perkhabaran seperti ini membuatkan hati saya luluh. Saya akan mendoakan mereka (arwah Am dan anaknya) setibanya saya di sana," katanya.
Dalam kejadian jam 7.15 pagi tadi, dua beranak itu maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Hasil siasatan polis mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi dua beranak berkenaan hilang kawalan dan terbabas sehingga memasuki laluan bertentangan sebelum kedua-duanya terjatuh.
Pada masa sama, datang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang tidak sempat mengelak lalu terlanggar dua beranak terbabit.
Jenazah dua beranak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Menora selepas solat Asar.
Sumber - HMetro