Sungai Petani: Pesakit kanser otak tahap tiga, Nur Assila Mat Isa meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim, di sini, hari ini.
Berita pemergian Nur Assila, 33, atau lebih mesra disapa Cikeyla dikongsikan suaminya, Azril Nizam Azhar, 33.
Azril Nizam berkata, isterinya menghembuskan nafas terakhir pada 4.10 pagi.
Menurutnya, isterinya dibawa ke hospital selepas sesak nafas pada 12 tengah malam tadi.
"Saya melihat isteri tercungap-cungap sebelum segera membawanya ke hospital dengan ambulans.
"Doktor kemudiannya mengesahkan isteri sudah meninggal dunia pada 4.10 pagi," katanya.
Katanya, dia reda dengan pemergian isteri tersayang dan menganggap kenangan 11 bulan menjaga isterinya adalah kenangan paling mahal.
"Isteri sudah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Pantai Prai, di sini, selepas Zohor.
"Saya juga berterima kasih kepada semua yang memberikan sokongan dan bantuan sepanjang arwah sakit," katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah Azril Nizam yang menjaga dan menguruskan isterinya yang disahkan menghidap kanser otak dengan penuh kasih sayang pada 13 Januari lalu.
Kisah mereka juga mendapat perhatian di TikTok apabila Azril selalu berkongsi mengenai keadaan isterinya itu.
Sumber - HMetro