Mayat lelaki tanpa identiti di puncak Gunung Jerai


Yan: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemukan di kawasan air terjun Alor Naga di puncak Gunung Jerai, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan mengenai penemuan mayat di kawasan itu pada 12.30 tengah hari.

Berikutan itu katanya, bilik gerakan Balai Polis Yan menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) daerah Yan untuk bantuan.

"Mayat ditemui di dalam sungai di kawasan air terjun Alor Naga tanpa pakaian.

"Mangsa kemudian berjaya dibawa keluar dari tempat kejadian kira-kira 5.30 petang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahnaz berkata, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.

Beliau berkata, setakat ini hasil pemeriksaan fizikal pada mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan untuk membantu mengangkat mayat pada jam 12.57 tengah hari.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Guar Chempedak yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mazlan Yaacob yang tiba di lokasi kejadian menemui mayat lelaki yang dipercayai sudah meninggal dunia.

"Anggota kemudian membawa mayat ke kaki bukit sebelum diserahkan kepada pihak polis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, setakat ini identiti mangsa belum diperoleh.



Sumber - HMetro 



LAZADA BIG SALE

LAZADA BIG SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!