‘Hari-hari Asyraff telefon, cakap rindu, suruh ambil dia’


MELAKA – Kanak-kanak lelaki, Amirul Asyraff Fakhrul, 6, yang ditemui lemas di Pantai Puteri di sini, hari ini dikatakan kerap menelefon ibunya untuk meluahkan rasa rindu.

Menurut Noor Faezah Zulkifli, 29, anak bongsunya itu dan abangnya berusia 10 tahun telah dijaga oleh nenek mereka di Tanjung Kling, manakala dia menetap di Kampung Gelam bersama bapa saudaranya.

“Setiap hari memang Asyraff akan menelefon saya sebelum tidur, kadang-kala pukul 3 pagi pun dia akan telefon beritahu rindu dan tanya bila akan ambil dia.

“Kali terakhir saya jumpa Asyraff adalah pada Rabu lalu dan saya mula berasa tak sedap hati dan pelik bila dia tak telefon semalam,” katanya ketika ditemui di Pantai Puteri, di sini, hari ini.

Tambah ibu tunggal itu, dia terkejut apabila diberitahu anaknya dikhuatiri lemas kerana kanak-kanak itu jarang bermain di kawasan pantai berkenaan.

“Selalunya dia hanya bermain di kawasan rumah neneknya dengan sepupunya, saya pun bingung macam mana dia boleh main di pantai ini,” katanya sambil menahan sebak.

Terdahulu, Amirul Asyraff dilaporkan dikhuatiri lemas kira-kira pukul 3.50 petang tadi selepas sepupunya mendakwa mangsa telah tenggelam sejurus melompat dari tembok batu di gigi air pantai berkenaan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilakukan dan mayat kanak-kanak itu ditemui pada pukul 6.22 petang oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Ayer Keroh pada jarak 30 meter daripada pesisiran pantai. 



Sumber – KOSMO! ONLINE



LAZADA BIG SALE

LAZADA BIG SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!