Petaling Jaya: Pengurus hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan mencampak kucing dari tingkat 15 pangsapuri, di sini, Isnin lalu.
Tertuduh, Chan Kam Kin, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat ke atas seekor kucing dengan mencampakkannya dari tingkat 15 hingga menyebabkan kematian haiwan itu di pangsapuri di PJS 8/9, di sini, pada 7.30 malam 17 Oktober lalu.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Kailash Sharma merayu supaya anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana dia tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menyara seorang anak berusia lapan tahun.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Zhafran membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Januari 2023 untuk sebutan kes.
Sumber - HMetro