Tasek Gelugor: Perjalanan seorang bapa untuk menghantar anak lelakinya ke sekolah berakhir tragedi apabila kedua mereka maut dalam kemalangan di Jalan Padang Menora di sini, pagi hari ini.
Dalam kemalangan 7.15 pagi itu, dua beranak berusia 46 dan 15 tahun berkenaan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dialami mereka.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Assisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung insiden terbabit.
"Hasil siasatan mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi dua beranak berkenaan hilang kawalan dan terbabas sehingga memasuki laluan bertentangan sebelum kedua-duanya terjatuh.
"Pada masa sama, datang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di laluan itu yang bergerak terus tidak sempat mengelak lalu terlanggar dua beranak terbabit.
"Akibat impak pelanggaran berkenaan menyebabkan dua beranak itu meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, mayat dua beranak itu dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk proses bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber - HMetro